Monday, February 27, 2012

Ingatan terakhirku sahabat.....


ASSALAMUALAIKUM w.t.b

Saat entri ini ku tulis, Alhamdulillah telah ku sempurnakan satu tugasan yang amat berat untuk ku lakukan. Permintaan untuk mengumpulkan makalah hasil penelitian di Makassar bagi tujuan penerbitan sememangnya akan memberi hambatan dan cabaran buatku. Tersentak apabila muncul persoalan bagaimana dengan makalamu sahabatku…..Evin terima kasih juga kerana sudi memberikan kekuatan padaku untuk terus mengambil alih tanggungjawab mengumpulkan bahagian penting makalah yang dilakukannya dulu.

Saat menerima panggilan dari Prof Nurhayati, secara tidak langsung teringat semula expo buku yang telah membawa kami semua berkumpul dan mengakhiri saat-saat indah dengan kegembiraan bersamamu sahabat. Bila ku lihat semua gambar-gambar di sana..menitis juga air mataku melihat potretmu. Ibu, saya pasti ke sana untuk bertemu mu.. doakan kehidupanku akan lebih bermakna selepas ini. sesingkat apa pun perkenalan kita tidak akan dapat menghapus semua keindahan bersama dirinya. Semanis wajah dan senyumannya begitulah indah persahabatan kita semua bersamanya. Saiful Fitri adalah nama yang tidak mungkin akan luput diingatan ku. Sahabat dan teman sejati yang pernah hadir memberikan warna dalam kehidupan kita semua. Buat seluruh Team Of Makassar, kita akan selalu merinduinya.

Sekilas teringat…

Jujur ku katakan sepanjang proses memastikan kami menjejak kaki ke Makassar selama sebulan, itu adalah usaha Fitri. Rasanya tidak keterlaluan andai ku katakan segalanya pasti tidak akan terhasil tanpa dukungan fitri yang bersamaku ketika susah dan senang sepanjang proses pengurusan itu berlangsung. Makalah yang diminta itu membuatkan diriku terkesima dan cuba mencerna pelbagai pertanyaan yang tidak mampu ku temui jawapannya.
 Teringat lagi saat pembentangan makalah di AKADEMI PENGAJIAN MELAYU yang dipengerusikan oleh diriku. Secara kebetulan sesi itu membariskan sahabat dan kekandaku. Saiful Fitri bersama makalahnya Amalan dan Upacara Barzanji Di Desa Pancana juga adinda kami Evelyn Anak Entusan dengan tajuk Sistem Kekerabatan Masyarakat Bugis. Ternyata sehingga ke hari ini aku masih tidak mampu membuang semua kenangan itu dari segenap penjuru kehidupanku. Kebaikan dan keikhlasannya amat dirindui oleh semua. Telah seminggu lebih dia pergi buat selamanya, dan kenyataan ini amat memeritkan tetapi harus diterima dengan tabah. Alhamdulillah sudah dapat menerima kehilangannya dan sentiasa mendoakan dirinya agar aman di sana. Setiap manusia akan kembali kepada-Nya Cuma mungkin berbeza waktu dan ketikanya.

Hari ini ku bersyukur pada Allah kerana ku diberikan kekuatan untuk membuka tesis sahabatku itu dan cuba mengeluarkan fakta penting bagi makalah yang di hasilkannya. Mungkin inilah sebabnya aku secara tidak sengaja telah membawa pendrive miliknya balik ke Rawang. Akhirnya aku hanya menghantar tesis tersebut melalui email untuk dihantar dalam bentuk CD kepada APM. Mujur salinan tesis itu masih rapi di dalam laptopku wahai sahabat.
Sahabat maaf kiranya aku tidak meminta keizinanmu terlebih dahulu. Ku tahu kau amat mempercayaiku dan kerana itu aku kuatkan semangatku melihat hasil kerjamu ini. Sahabat andai ku punya waktu , ingin aku katakan aku bangga menjadi sahabat dan adik kepadamu. Ini sahaja yang mampu ku lakukan untuk menghasilkan makalahmu sahabat. Moga isinya tidak terlalu jauh berbeza dengan kehendakmu ketika melakukan penelitian. 

Ikhlas dari hatiku sahabat, ku doakan moga dikau tenang di sana. Segala kenangan, kerinduan dan persahabatan itu biarlah menjadi coretan indah buat kami semua. Kehilanganmu mengajar aku erti persahabatan sejati bukan untuk seketika tetapi sampai bila-bila pun. Dikau akan kekal dalam sanubari kami semua… Amanlah di sana… AL- Fatihah….





28/02/2012 – Semporna, Sabah

No comments:

Post a Comment