Tuesday, February 7, 2012

EXPO BUKU 1 MALAYSIA











ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM 1 MALAYSIA…

Srikandi ingin berkongsi pengalaman menghadiri Expo Buku 1 Malaysia yang berlangsung 1 feb- 6 feb 2012 di Putra World Trade Center (PWTC). Alhamdulillah kerana berkesempatan menjenguk ke pameran dan menghadiri seminar yang mengundang beberapa orang tokoh terkenal. Expo buku ini sebenarnya merupakan usaha yang dilakukan oleh pihak tertentu untuk menggalakkan minat dan penghasilan bahan bacaan kepada masyarakat. Apabila Srikandi berbicara bersama seorang tokoh yang menjadi tulang belakang majlis itu, beliau menyatakan bahawa kajian mendapati mahasiswa universiti cuma membaca buku sekitar 4 buah setahun. Mungkin angka itu terlalu sedikit bagi seorang mahasiswa yang belajar di Universiti. Oleh itu langkah ini diperlukan untuk membina minat dan menggerakkan lagi industri buku di Malaysia.

Yang lebih menarik perhatian srikandi dan rakan-rakan adalah usaha pihak penganjur mengundang rakan serumpun iaitu Pensyarah-pensyarah dari Sulawesi Selatan bersama makalah dan manuskrip asli mereka. Prof. Dr. Nurhayati Rahman merupakan tokoh yang srikandi segani kerana semasa di Makassar beliau adalah antara insan yang rela membantu penyelidikan kami di sana. Jasa Prof  tidak akan mampu dibalas walau dengan apa jua. Berbalik kepada seminar, Prof membentangkan mengenai La Galigo ke arah pembentukan masyarakat Bugis minda kelas pertama. Karya La Galigo merupakan epik terpanjang di dunia malah lebih dua kali ganda panjang baitnya berbanding karya mahabarata. La galigo ini ditulis dalam aksara lontarak bugis yang agak sukar diterjemahkan. Namun srikandi merasa bertuah kerana Prof Nurhayati merupakan orang yang bertanggungjawab untuk menterjemahkan manuskrip asli La Galigo yang tersimpan di Leiden Universiti. Beberapa orang teman dari sana juga membantangkan makalah seperti Prof Syahriartato, Shaifuddin Bahrum dan Ilham Daeng Makkelo (mungkin nama tidak lengkap). Pertemuan dengan mereka begitu berharga dan dapat berkongsi segala ilmu dan pengetahuan.

Srikandi juga berkesempatan untuk melihat dan memegang sebahagian manuskrip asli yang dibawa oleh rakan-rakan dari Makassar diketuai oleh budayawan Pak Sudirman Sabang dan Ahmad Taslim. Seorang pelancong asing berkulit hitam memberitahu srikandi dia merasa kagum kerana berpeluang melihat sendiri manuskrip ini sedangkan ketika di leiden langsung tidak boleh disentuh.  Terdetik di dalam hati juga untuk mengakui kebenaran kata-kata pelancong tersebut. Keakraban yang terjalin diantara srikandi bersama rakan-rakan dari Makassar mungkin luar biasa kerana seperti mempunyai ikatan yang kuat. Srikandi juga sudah menganggap mereka semua seperti saudara. Berada di Makassar tidak jauh bezanya dengan berada di kampung halaman sendiri. Beberapa tokoh tulisan seni khat dari negara China turut di undang dan di berikan peluang untuk memperlihatkan bakat dan kemampuan kepada masyarakat di Malaysia. Sesungguhnya usaha ini merupakan suatu kebijaksanaan yang wajar diberikan pujian.

Malam penyampaian anugerah juga sempat dihadiri srikandi bersama rakan-rakan yang lain. Entah mengapa terasa kehadiran kami di situ sangat dihargai sehingga diberikan peluang untuk naik ke pentas dan bergambar berasama menteri dan pengelola program tersebut. Siapalah kami jika dibandingkan dengan hadirin yang berada di dalam Dewan Merdeka itu. Rakan srikandi begitu teruja untuk bersalaman dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menerima anugerah best saller dengan karya tulisannya Doctor in The house. Srikandi memanfaatkan sepenuhnya masa dengan datang pada hari berikutnya. Seminar bersama H.M Tuah juga memberikan impak yang postitf dalam kalangan pendengar. Masa yang berharga itu sempat diluangkan untuk memberikan motivasi kepada diri. Makalah yang dibentangkan oleh S.N Anwar Ridhwan juga tidak kurang hebatnya. Beliau merupakan sasterawan yang teliti dalam penghasilan karyanya. Srikandi pernah bertemu dengannya ketika ingin mendapatkan data mengenai dirinya. Mungkin kenangan itu sudah beberapa tahun berlalu tapi srikandi bangga sempat bertemunya sebelum beliau dinobatkan sebagai Sasterawan Negara.

Namun sepanjang beberapa hari seminar dan pembentangan berlangsung bilangan masyarakat yang menyertai begitu kurang. Entah dimana silapnya perkara ini apakah kurangnya publisiti ataupun mahasiswa sedang berada di kampung. Srikandi sendiri berasa rugi setiap kali tertinggal beberapa sesi pembentangan. Seharusnya majlis seperti ini dihargai dan dijadikan landasan untuk memperolehi sesuatu yang bermanfaat. Mahasiswa perlu mengambil peluang kerana program ini diberikan percuma tanpa sebarang bayaran. Apa yang mampu srikandi katakan adalah segalanya terpulang kepada penilaian dan mentaliti mahasiswa. Pencarian ilmu itu berlangsung tidak kira di mana jua asalkan kita berusaha dan mahu mengetahui.

Terima kasih srikandi ucapkan kepada semua rakan-rakan yang sudi bersama di saat-saat akhir sebelum kepulangan srikandi ke Negeri Sabah yang tercinta….buat teman-teman dari Makassar semoga kita berjumpa lagi…insyallah..



Piao Liang Adawiah
07/02/2012 @PWTC

No comments:

Post a Comment