Monday, February 6, 2012

ALHAMDULILLAH.. syukur padamu ya Rabb…





Setelah lama menantikan masa yang panjang untuk menulis entri terbaru di tahun baru dan di blog yang baru akhirnya barulah mempunyai waktu itu…

20/01/2012 – selesai sudah perjuangan selama ini yang terus-terusan dicari dan dikejar untuk menambahkan ilmu di dada. Akhirnya tesis Sarjana selesai dihantar kepada pentadbiran Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya.

Tesis bertajuk NOVEL KISWAH DAN TAWASSUL KARYA ISA KAMARI: ANALISIS PENDEKATAN DAKWAH. Secara jujurnya tulisan ini merupakan bukti air mata, keringat dan juga segala penat lelah untuk sampai ke tahap ini. Sukar rasanya untuk digambarkan perasaan ketika ini tatkala menginjak usia 24 tahun sudah berjaya menamatkan pengajian ke peringkat Sarjana. Syukur Alhamdulillah atas segala kurniaan yang diberikan-Nya. Namun segala keputusan akhir belum diperolehi lagi, Cuma sebagai hamba yang telah berusaha srikandi hanya mampu tawakkal dan reda dengan segala takdir yang akan mengiringi perjalanan ini.

Pasti ada yang tertanya-tanya apa istimewanya karya tersebut sehingga srikandi bertekad untuk meneruskan kajian dan analisis sedangkan karya tersebut milik seorang penulis Singapura. Mungkin tidak keterlaluan jika srikandi katakan karya itu mampu mengusik dan menyedarkan srikandi makna penulisan kreatif dari sudut memenuhi tuntutan Islam. Karya yang baik adalah terkandung keikhlasan dan kesucian di dalamnya. Srikandi secara peribadi kagum dengan olahan dan karya yang bersahaja nukilan indah ISA KAMARI. Karya-karya beliau diperkenalkan kepada srikandi lewat pertemuan bersama sahabat baik Muhammad Jailani yang banyak memberikan pendapat dan buah fikirannya kepada srikandi.  Saat menyelak helaian demi helaian karya Kiswah meremang bulu roma kerana menghayati dan cuba mencari sesuatu yang lain dalam karya ini. Srikandi belum pernah ketemu karya seperti itu yang disampaikan dalam irama bersahaja tetapi menggetarkan pembaca saat berdepan hukuman yang mungkin dibalas tunai kepada wataknya. 

Srikandi juga menginginkan kelainan dalam penelitian yang dilakukan. Pemilihan karya Isa Kamari mungkin agak berbeza berbanding rakan seperjuangan yang keseluruhannya mengetengahkan karya penulis tempatan. Srikandi melihat rumpun Melayu itu hakikatnya luas dan besar lingkungannya. tidak salah untuk cuba menjauhi kebiasaan yang dilakukan oleh rakan-rakan lain. Namun sokongan padu penyelia dan rakan-rakan yang lain membawa srikandi ke tahap ini.

Alhamdulillah akhirnya dengan semangat dan kekentalan itulah srikandi cuba mendalami makna dan pengertian dakwah. Mungkin agak terkeluar sedikit daripada tahap pengetahuan srikandi mengenai ilmu dakwah. Namun sebagai mahasiswa itu adalah cabaran utama untuk mendapatkan kemanisan dalam perjuangan ini. Srikandi pernah menangis, murung dan keletihan sewaktu peringkat awal penulisan. Berkat doa Ayahanda bonda, adik beradik , keluarga, insan tersayang dan rakan seperjuangan segalanya mampu diteruskan. Srikandi bersama sahabat Ramizah Rajid berjaga hampir dua bulan tanpa henti.. kalau ada pun Cuma sebentar untuk menghilangkan mengantuk namun segera menyambung semula tugasan. Mungkin inilah yang dikatakan pengorbanan…

Terima kasih kepada semua yang telah membantu srikandi untuk memperolahi impian dan cita-cita semoga kejayaan ini akan terus menjadi pemangkin kegemilangan di masa akan datang.

06/02/2012
KUALA LUMPUR


1 comment:

  1. Assalamu'alaikum Awing...doa kak Nor moga segalanya dirahmati & diberkati AllahSWT. Sukses selalu hendaknya. Cantik nukilannya...

    ReplyDelete