Monday, May 28, 2012

SYUKUR alhamdulillah ...


Allah masih memberikan kekuatan kepada Srikandi untuk menukilkan seberkas kenangan terindah bersama Almarhum ayahanda Tn. Hj. Abd. Samad Bin Hj. Mumin....


15.05.2012 merupakan detik yang amat menyedihkan dalam hidup srikandi dan seluruh ahli keluarga yang lain. ayahanda tercinta menghembuskan nafasnya yang terakhir dipangkuan srikandi. tiada kata yang terucapkan dikala itu hanya bisikan kalimah akhir seorang muslim. Allah sahaja maha mengetahui apa yang tersirat di hati kecil ini. Pagi itu srikandi sempat menyiapkan sarapan pagi kepadanya.. melihat tubuhnya yang agak sihat srikandi ingin berlalu , namun ayahanda menahan kerana ada sesuatu yang ingin diucapkan pada srikandi. " bapa tengah sakit".. srikandi menjawab "bapa jangan risau, kami semua tahu bapa sakit" mendengar jawapan itu ku lihat ayahanda hanya menggeleng sambil mengukir senyuman padaku. Srikandi sempat menyediakan makanan tengahari untuknya dan makan bersamanya. Makanan kegemaran ayahanda itu merupakan makanan yang srikandi gemari juga. makan berdua amat menyelerakan dan kami tersenyum bersama. Namun ketika jam menunjukkan angka 2 petang, ayahanda memberitahu tulang rusuknya amat sakit. Srikandi bersama kekanda dan suaminya membawa ayahanda bertemu DR.SOO... ayah diberikan suntikan dan temu janji 29/05/2012.


Kebiasannya selepas suntikan itu, dia akan berasa tenang dan pulih seperti biasa. Namun sebaliknya berlaku..kesakitan itu tidak beransur hilang malah ku lihat ayah cuba melawan dalam kepayahannya itu. Dia mencuba untuk mengubati dirinya sendiri dan meringankan kesakitan yang dirasai. kehadiran kekanda-kekanda yang lain telah menyebabkan kami mengambil keputusan untuk membawanya ke hospital sekitar jam 5 Petang. ayahanda diberikan bantuan oksigen kerana menurut mereka keadaanya tidak stabil. tapi ayah masih mampu berkata-kata dengan baik dan kami bergilir-gilir menemaninya di ruangan kecemasan itu sementara menanti untuk dimasukkan ke dalam wad harian.




Beberapa hari sebelum itu, ayah meminta (my fiance) datang untuk memotong rambutnya. Alasannya terlalu panjang dan kurang selesa. ayah juga meminta srikandi untuk memotong kuku tangan dan kakinya agar kelihatan bersih. ketika srikandi menjaganya di ruang kecemasan. renungan dan pandangan ayahanda itu sudah agak berbeza. merenung terlalu lama dan kemudian tersenyum. Subhanallah...mungkin srikandi yang tidak mampu mentafsir apa yang srikandi lihat.


Ketika jam 7 malam, ayahanda telah dipindahkan ke wad biasa walaupun srikandi berkeras meminta untuk masuk di wad 1st class. Alasan yang diberikan doktor adalah keadaan ayah kurang stabil jadi memerlukan pemantauan rapi. srikandi akur sebelum meminta izin padanya untuk kembali mandi ke rumah sebelum datang lagi untuk menemaninya di hospital malam itu. kekanda yang menjaganya sementara menanti srikandi balik semula ke hospital...



tepat jam 9 malam srikandi sampai di hosptal bersama anak saudara untuk menjaganya. manakala kekanda balik ke rumah. ketika ditanya hendak makan apa..ayahanda mengeleng-geleng kepala . namun kekanda berkeras untuk membeli bubur ayam kegemarannya. Namun anak saudara srikandi sudah mula mengalirkan air mata melihat reaksi ayahanda yang tidak mahu memakai oksigen lagi. Dia cuba untuk membuang kahak namun apa yang srikandi lihat warnanya sudah berbeza. Warna agak gelap dan seperti tanah.. dalam hati srikandi mengakui ayahanda tengah bertarung dengan sakaratul maut. ketika itu ayahanda memanggil anak saudara untuk lebih rapat ke tangannya..kemudian meminta srikandi memeluk dia lebih erat. sejurus kekanda sampai bersama bubur ayam itu, ayahanda sudah mula bertukar wajah agak bersih dan bercahaya. warna kekuningan itu muncul bermula dari kaki sehingga kami bertiga mengalirkan air mata. srikandi membisikkan padanya untuk mengucap syahadah. Alhamdulillah ayahanda mengucapkannya berkali-kali. dia merenung kami dan kemudian batuk. serentak dengan itu ayah  menganggkat takbir. tangannya tidak lagi memegang kekanda dan anak saudara..sebaliknya dia menarik dan menyilangkannya seperti keadaan solat. Srikandi menangis melihat keadaan itu..terlalu sukar untuk diucapkan. Wad kemudiannya bertukar menjadi cemas dan srikandi memaklumkan kepada doktor agar tidak menggunakan renjatan elektrik untuk membantunya. Di hati kecil srikandi merelakan pemergiannya dengan aman dan tanpa gangguan lagi. doktor berusaha membantunya, namun ayahanda sudah tiada...


srikandi cuba menelefon kesemua kekanda yang lain. mereka cuma mampu menangis dan menerima khabar yang paling menyedihkan. ayahanda sudah memberitahu pemergiannya namun srikandi tidak memahami maksudnya.


6 daripada 11 anaknya adalah guru. mungkin ini hadiah terakhir ayahanda kepada kami sekeluarga sempena hari guru. Hari yang tidak akan pernah kami semua lupakan. Ayahanda adalah guru yang terlalu baik dan tinggi nilai pengorbanannya kepada kami semua. kehilangan dan pemergiannya ini umpama kehilangan sebahagian daripada nyawa kami semua. terlalu besar dan tinggi harapannya kepada anak-anak yang dibesarkannya. Ayahanda tidak pernah berbangga pasal harta tapi ayahanda lebih bangga memiliki anak yang berjaya menjadi manusia.

ayahanda...saat engkau dimandikan, hati diasak rasa sedih dan pilu melihat kekanda ustz masuk bersama kekanda karim memandikan jenazahmu. Seingat srikandi inilah situasi yang sentiasa dikau harapkan agar anakmu yang menguruskan jenazah dan seluruh penghormatan terakhir kepadamu. Kekanda ustaz juga yang mengimamkan solat jenazahmu..srikandi tahu dikau gembira dan senang melihat keadaan ini. anak-anak yang kau sayangi berbakti kepada ayah mereka. Namun saat engkau di masukkan ke liang lahad..kami semua tidak dapat menahan air mata. sudah tiada lagi ayah yang dikasihi..ayah yang disayangi dan ayah yang dirindui.

Kekanda ustaz membaca talkim bersama linangan airmata yang tidak mampu ditahan. Ucapan perpisahan yang diungkapkannya membuatkan seluruh hadirin juga mengalirkan air mata. ayah kami amat menyayangimu. pusara mu menjadi tempat yang akan sentiasa kami kunjungi nanti... ayah amanlah di sana..doa kami sentiasa mengiringi perjalananmu. Hanya doa sebagai penyambung rindu kami padamu.. 


kehilangannya tiada pengganti.....pemergiannya ditangisi.....takkan pernah hilang kasihnya dalam hati dan sanubari...ayahanda insan yang kami sayangi....


srikandi mengorbankan seluruh masa cuti sejak bulan febuari untuk menjaga ayahanda, menemani siang dan malam..kala kesakitan itu dirasainya..mungkin terlalu awal dia pergi sehingga srikandi merasakan belum sempat srikandi berbakti sepenuhnya untuk menjaga dan membalas jasanya. Paling menyedihkan srikandi ayahanda ingin melihat hari penganugerahan ijazah sarjana srikandi pada bulan oktober nanti. namun belum sempat ayahanda melihat kejayaan itu.. sedih tidak mampu diucapkan. hati lebih pedih dan sunyi.


kehilangan ayahanda bererti pergi sudah insan yang amat srikandi sayangi. sumber inspirasi untuk melakar kejayaan dalam dunia akademik. Teringat pesannya setiap subuh hari " Pandai akademik sahaja tidak cukup kalau tidak solat" ayahanda srikandi amat merinduimu. takkan pernah meninggalkan pesanan dan amanahmu menjaga adik sehingga dia berjaya dalam pelajarannya. Kami semua berjanji akan sentiasa bersatu hati. terlalu banyak kenangan dan keindahan yang dilalui bersamanya.


Kini genap hari yang ke 12 pemergiannmu. Kami masih berada di rumah kekanda. Menjejakkan kaki ke rumah itu membuatkan kami mengalirkan air mata. sungguh dalam kerinduan padamu ayah. Tidak pernah dirasakan saat yang amat memeritkan seperti ini. Tapi kami redha dan mendoakan perjalananmu di sana. Semoga Allah menempatkamu dalam kalangan para solihin.





Add caption




AL- FATIHAH BUAT AYAHANDA TN. HJ ABDUL SAMAD HJ.MUMIN...

No comments:

Post a Comment