Sunday, May 27, 2012

NUKILAN TERTANGGUH....


Srikandi menyiapkan nukilan ini setelah kembali ke rumah bersama ayahanda tercinta..entah mengapa beberapa puisi yang ditulis begitu mengusik jiwa. kasihnya memang tiada tandingan...










          “KASIHNYA IBU MEMBAWA KE SYURGA
            KASIHNYA AYAH TIADA TANDINGNYA”

Saat entri ini srikandi coretkan, rasa sedih dan pilu sentiasa bermukim di hati. Ayahanda tercinta masih kurang sihat dan keadaanya tidak mengizinkan untuk pelbagai aktiviti. Usianya sudah mencecah 75 tahun dan mengalami kerosakan pada paru-paru. Seingat srikandi sudah hampir 3 tahun ayahanda menghidap penyakit paru-paru dan glaucoma.

Semua anak beranggapan orang tua mereka adalah yang terbaik pernah di miliki. Srikandi mengakui pendapat itu benar. Tanpa didikan ayahanda juga kasih ibunda anak tidak akan mampu membesar dengan kasih sayang secukupnya. Pengalaman srikandi dibesarkan dalam keluarga yang ramai menjadi kenangan yang amat berharga. Mempunyai orang tua sebaik mereka adalah anugerah yang tidak ternilai harganya. Membesarkan  12 orang anak bukan suatu tugasan yang mudah apatahlagi memastikan tidak ada seorang pun yang keciciran dalam pelajaran. ALHAMDULILLAH berkat restu dan kurnia Allah kami membesar menjadi orang-orang yang berguna.

Bukan mendabik dada tapi sekadar melepaskan rasa kekaguman kepada ayahanda dan bonda. Seringkali tetamu yang bertandang ke rumah bertanya “makanan apa yang diberikan kepada anak-anak sehingga semua berjaya seperti ini”. srikandi lihat ayahanda tenang setiap kali diajukan soalan tersebut. Mungkin mereka tidak mengetahui kesusahan yang pernah dialami oleh srikandi sekeluarga. Kesusahan itu menjadi pemangkin utama untuk kami melakar kejayaan demi kedua orang tua. Kekanda yang sulung terus menjadi guru selepas tamat pelajaran dan membantu ayahanda untuk menyara keluarga. Bonda pernah menangis kerana berat untuk melepaskan anaknya melanjutkan pelajaran.  Kekanda ketika itu masih terlalu kecil untuk merantau ke negeri orang. Namun peluang terbaik itu Cuma datang sekali sahaja. Akhirnya dia pergi berkelana ke negeri orang sehingga tamat SPM dan memasuki maktab perguruan. Berkat doa ayahanda dan bonda akhirnya dia berjaya menjadi guru. Begitu juga sewaktu kekanda memasuki sekolah pondok. Menjadi anak kesayangan bukanlah penghalang untuknya melakar kejayaan seterusnya berjaya menjadi seorang guru di sekolah dan Ustaz yang disegani. Setelah itu seorang demi seorang bersilih ganti melanjutkan pengajian di Universiti sekitar Kuala Lumpur. Pelbagai jurusan dan bidang diambil mengikut minat dan kepakaran masing-masing. Alhamdulillah setelah berpuluh tahun ayahanda menanti, tinggal seorang sahaja adinda yang masih menuntut di Universiti Malaysia Sabah dalam jurusan teknologi maklumat.


Kasih orang tua itu tiada sempadannya, Cuma kejayaan anakanda sentiasa diharapkan. Walau di mana jua berada doa dan harapan mereka tidak pernah padam. Ingatan akan terus subur dan mekar menantikan cahaya dan keindahan.


AYAHANDA – JASAMU SELUAS LAUTAN, PENGORBANANMU IBARAT ALAM TERBENTANG, KASIHMU TIADA PENGHALANG…DIKAULAH PAHLAWAN DIHATI KECILKU INI.
BONDA- DIAMMU BERERTI SAYANG, KELEMBUTANMU MENYENTUH NURANIKU
TANPA SANGSI, TANPA RAGU MELEPASKAN ANAKANDA MENJADI INSAN TERBILANG..DIKAU RATU DIHATIKU

No comments:

Post a Comment