Sunday, July 22, 2012

SALAM RAMADHAN AL-MUBARAK...


ku mengharapkan ramadhan kali ini penuh makna
agar dapat ku tempuhi dengan sempurna..

pertama kali menyambut ramadhan tanpa ayahanda yang amat disayangi..namun kerinduan itu hanya mampu diterjemah melalui ingatan dan pesanan yang akan terus dilaksanakan tanpanya. Terawih bersama ke masjid masih terus dilakukan walaupun  dalam hati kami merindui kehadiramu ayah. Kasihmu, sayangmu, cintamu akan terus mekar dalam kehidupan kami anak-anakmu. Al- Fatihah buatmu semoga ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh...juga seberkas ingatan dan bingkisan Al-Fatihah buat sahabatku Saiful Fitri..




KERINDUANKU

Kerinduan tidak terbilang harganya
Bimbang tidak bersua berbicara
Soal pahit manis pancaroba
Lukisan kanvas kehidupan
Berwarna wajah kepekatan

Menunggu  kehadiran pelengkap
Perjalanan mencari  cinta-Nya
Kerana  padanya lautan rahmat diiringi
Hamparan berkat nikmat dipayungi
 titis-titis rahmat tersedia luas
Dataran pengampunan-Nya

Penantian suci berbekas
Moga memadam awan kelam bernoda
Terbuka pintu taubat bercambah
Ibadah dan mahabbah pada-Nya
kerinduan Ramadhan Al-Mubarak

Rabiatul Adawiah Ab. Samad
Semporna, Sabah


 
 AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN...MOGA MENJANJIKAN KEMANISAN




Sunday, July 1, 2012

PUISI DUNIAKU....





KABUS PELAYARAN

Membilang waktu berlalu
Bergulir dalam angan dan impian
Bernyanyi seruling indah dalam kabus
Samar dan kelam perlayaran

Milik aku?
Punya aku?
Benarkah?

Berasak-asak persoalan beraja di minda
Mengintai disebalik kamar walau pedih
Sekelumit jaya dan padanan cita diimpi
Namun kabus sering menyelubungi

Bahtera tetap dilayarkan
Dalam kesamaran hanya bayang kelam
Menutupi semangat srikandi juang
Melihat bianglala berwarna girang

Kabus mahu srikandi karam
Dihimpit layar impian agar padam
Nur keyakinan ditengah lautan
Biar roh berterbangan tanpa tujuan
Kabus menang tanpa perlawanan.



RABIATUL ADAWIAH BINTI AB.SAMAD
SEMPORNA SABAH
1 JULAI 2012





Monday, May 28, 2012

SYUKUR alhamdulillah ...


Allah masih memberikan kekuatan kepada Srikandi untuk menukilkan seberkas kenangan terindah bersama Almarhum ayahanda Tn. Hj. Abd. Samad Bin Hj. Mumin....


15.05.2012 merupakan detik yang amat menyedihkan dalam hidup srikandi dan seluruh ahli keluarga yang lain. ayahanda tercinta menghembuskan nafasnya yang terakhir dipangkuan srikandi. tiada kata yang terucapkan dikala itu hanya bisikan kalimah akhir seorang muslim. Allah sahaja maha mengetahui apa yang tersirat di hati kecil ini. Pagi itu srikandi sempat menyiapkan sarapan pagi kepadanya.. melihat tubuhnya yang agak sihat srikandi ingin berlalu , namun ayahanda menahan kerana ada sesuatu yang ingin diucapkan pada srikandi. " bapa tengah sakit".. srikandi menjawab "bapa jangan risau, kami semua tahu bapa sakit" mendengar jawapan itu ku lihat ayahanda hanya menggeleng sambil mengukir senyuman padaku. Srikandi sempat menyediakan makanan tengahari untuknya dan makan bersamanya. Makanan kegemaran ayahanda itu merupakan makanan yang srikandi gemari juga. makan berdua amat menyelerakan dan kami tersenyum bersama. Namun ketika jam menunjukkan angka 2 petang, ayahanda memberitahu tulang rusuknya amat sakit. Srikandi bersama kekanda dan suaminya membawa ayahanda bertemu DR.SOO... ayah diberikan suntikan dan temu janji 29/05/2012.


Kebiasannya selepas suntikan itu, dia akan berasa tenang dan pulih seperti biasa. Namun sebaliknya berlaku..kesakitan itu tidak beransur hilang malah ku lihat ayah cuba melawan dalam kepayahannya itu. Dia mencuba untuk mengubati dirinya sendiri dan meringankan kesakitan yang dirasai. kehadiran kekanda-kekanda yang lain telah menyebabkan kami mengambil keputusan untuk membawanya ke hospital sekitar jam 5 Petang. ayahanda diberikan bantuan oksigen kerana menurut mereka keadaanya tidak stabil. tapi ayah masih mampu berkata-kata dengan baik dan kami bergilir-gilir menemaninya di ruangan kecemasan itu sementara menanti untuk dimasukkan ke dalam wad harian.




Beberapa hari sebelum itu, ayah meminta (my fiance) datang untuk memotong rambutnya. Alasannya terlalu panjang dan kurang selesa. ayah juga meminta srikandi untuk memotong kuku tangan dan kakinya agar kelihatan bersih. ketika srikandi menjaganya di ruang kecemasan. renungan dan pandangan ayahanda itu sudah agak berbeza. merenung terlalu lama dan kemudian tersenyum. Subhanallah...mungkin srikandi yang tidak mampu mentafsir apa yang srikandi lihat.


Ketika jam 7 malam, ayahanda telah dipindahkan ke wad biasa walaupun srikandi berkeras meminta untuk masuk di wad 1st class. Alasan yang diberikan doktor adalah keadaan ayah kurang stabil jadi memerlukan pemantauan rapi. srikandi akur sebelum meminta izin padanya untuk kembali mandi ke rumah sebelum datang lagi untuk menemaninya di hospital malam itu. kekanda yang menjaganya sementara menanti srikandi balik semula ke hospital...



tepat jam 9 malam srikandi sampai di hosptal bersama anak saudara untuk menjaganya. manakala kekanda balik ke rumah. ketika ditanya hendak makan apa..ayahanda mengeleng-geleng kepala . namun kekanda berkeras untuk membeli bubur ayam kegemarannya. Namun anak saudara srikandi sudah mula mengalirkan air mata melihat reaksi ayahanda yang tidak mahu memakai oksigen lagi. Dia cuba untuk membuang kahak namun apa yang srikandi lihat warnanya sudah berbeza. Warna agak gelap dan seperti tanah.. dalam hati srikandi mengakui ayahanda tengah bertarung dengan sakaratul maut. ketika itu ayahanda memanggil anak saudara untuk lebih rapat ke tangannya..kemudian meminta srikandi memeluk dia lebih erat. sejurus kekanda sampai bersama bubur ayam itu, ayahanda sudah mula bertukar wajah agak bersih dan bercahaya. warna kekuningan itu muncul bermula dari kaki sehingga kami bertiga mengalirkan air mata. srikandi membisikkan padanya untuk mengucap syahadah. Alhamdulillah ayahanda mengucapkannya berkali-kali. dia merenung kami dan kemudian batuk. serentak dengan itu ayah  menganggkat takbir. tangannya tidak lagi memegang kekanda dan anak saudara..sebaliknya dia menarik dan menyilangkannya seperti keadaan solat. Srikandi menangis melihat keadaan itu..terlalu sukar untuk diucapkan. Wad kemudiannya bertukar menjadi cemas dan srikandi memaklumkan kepada doktor agar tidak menggunakan renjatan elektrik untuk membantunya. Di hati kecil srikandi merelakan pemergiannya dengan aman dan tanpa gangguan lagi. doktor berusaha membantunya, namun ayahanda sudah tiada...


srikandi cuba menelefon kesemua kekanda yang lain. mereka cuma mampu menangis dan menerima khabar yang paling menyedihkan. ayahanda sudah memberitahu pemergiannya namun srikandi tidak memahami maksudnya.


6 daripada 11 anaknya adalah guru. mungkin ini hadiah terakhir ayahanda kepada kami sekeluarga sempena hari guru. Hari yang tidak akan pernah kami semua lupakan. Ayahanda adalah guru yang terlalu baik dan tinggi nilai pengorbanannya kepada kami semua. kehilangan dan pemergiannya ini umpama kehilangan sebahagian daripada nyawa kami semua. terlalu besar dan tinggi harapannya kepada anak-anak yang dibesarkannya. Ayahanda tidak pernah berbangga pasal harta tapi ayahanda lebih bangga memiliki anak yang berjaya menjadi manusia.

ayahanda...saat engkau dimandikan, hati diasak rasa sedih dan pilu melihat kekanda ustz masuk bersama kekanda karim memandikan jenazahmu. Seingat srikandi inilah situasi yang sentiasa dikau harapkan agar anakmu yang menguruskan jenazah dan seluruh penghormatan terakhir kepadamu. Kekanda ustaz juga yang mengimamkan solat jenazahmu..srikandi tahu dikau gembira dan senang melihat keadaan ini. anak-anak yang kau sayangi berbakti kepada ayah mereka. Namun saat engkau di masukkan ke liang lahad..kami semua tidak dapat menahan air mata. sudah tiada lagi ayah yang dikasihi..ayah yang disayangi dan ayah yang dirindui.

Kekanda ustaz membaca talkim bersama linangan airmata yang tidak mampu ditahan. Ucapan perpisahan yang diungkapkannya membuatkan seluruh hadirin juga mengalirkan air mata. ayah kami amat menyayangimu. pusara mu menjadi tempat yang akan sentiasa kami kunjungi nanti... ayah amanlah di sana..doa kami sentiasa mengiringi perjalananmu. Hanya doa sebagai penyambung rindu kami padamu.. 


kehilangannya tiada pengganti.....pemergiannya ditangisi.....takkan pernah hilang kasihnya dalam hati dan sanubari...ayahanda insan yang kami sayangi....


srikandi mengorbankan seluruh masa cuti sejak bulan febuari untuk menjaga ayahanda, menemani siang dan malam..kala kesakitan itu dirasainya..mungkin terlalu awal dia pergi sehingga srikandi merasakan belum sempat srikandi berbakti sepenuhnya untuk menjaga dan membalas jasanya. Paling menyedihkan srikandi ayahanda ingin melihat hari penganugerahan ijazah sarjana srikandi pada bulan oktober nanti. namun belum sempat ayahanda melihat kejayaan itu.. sedih tidak mampu diucapkan. hati lebih pedih dan sunyi.


kehilangan ayahanda bererti pergi sudah insan yang amat srikandi sayangi. sumber inspirasi untuk melakar kejayaan dalam dunia akademik. Teringat pesannya setiap subuh hari " Pandai akademik sahaja tidak cukup kalau tidak solat" ayahanda srikandi amat merinduimu. takkan pernah meninggalkan pesanan dan amanahmu menjaga adik sehingga dia berjaya dalam pelajarannya. Kami semua berjanji akan sentiasa bersatu hati. terlalu banyak kenangan dan keindahan yang dilalui bersamanya.


Kini genap hari yang ke 12 pemergiannmu. Kami masih berada di rumah kekanda. Menjejakkan kaki ke rumah itu membuatkan kami mengalirkan air mata. sungguh dalam kerinduan padamu ayah. Tidak pernah dirasakan saat yang amat memeritkan seperti ini. Tapi kami redha dan mendoakan perjalananmu di sana. Semoga Allah menempatkamu dalam kalangan para solihin.





Add caption




AL- FATIHAH BUAT AYAHANDA TN. HJ ABDUL SAMAD HJ.MUMIN...

Sunday, May 27, 2012

NUKILAN TERTANGGUH....


Srikandi menyiapkan nukilan ini setelah kembali ke rumah bersama ayahanda tercinta..entah mengapa beberapa puisi yang ditulis begitu mengusik jiwa. kasihnya memang tiada tandingan...










          “KASIHNYA IBU MEMBAWA KE SYURGA
            KASIHNYA AYAH TIADA TANDINGNYA”

Saat entri ini srikandi coretkan, rasa sedih dan pilu sentiasa bermukim di hati. Ayahanda tercinta masih kurang sihat dan keadaanya tidak mengizinkan untuk pelbagai aktiviti. Usianya sudah mencecah 75 tahun dan mengalami kerosakan pada paru-paru. Seingat srikandi sudah hampir 3 tahun ayahanda menghidap penyakit paru-paru dan glaucoma.

Semua anak beranggapan orang tua mereka adalah yang terbaik pernah di miliki. Srikandi mengakui pendapat itu benar. Tanpa didikan ayahanda juga kasih ibunda anak tidak akan mampu membesar dengan kasih sayang secukupnya. Pengalaman srikandi dibesarkan dalam keluarga yang ramai menjadi kenangan yang amat berharga. Mempunyai orang tua sebaik mereka adalah anugerah yang tidak ternilai harganya. Membesarkan  12 orang anak bukan suatu tugasan yang mudah apatahlagi memastikan tidak ada seorang pun yang keciciran dalam pelajaran. ALHAMDULILLAH berkat restu dan kurnia Allah kami membesar menjadi orang-orang yang berguna.

Bukan mendabik dada tapi sekadar melepaskan rasa kekaguman kepada ayahanda dan bonda. Seringkali tetamu yang bertandang ke rumah bertanya “makanan apa yang diberikan kepada anak-anak sehingga semua berjaya seperti ini”. srikandi lihat ayahanda tenang setiap kali diajukan soalan tersebut. Mungkin mereka tidak mengetahui kesusahan yang pernah dialami oleh srikandi sekeluarga. Kesusahan itu menjadi pemangkin utama untuk kami melakar kejayaan demi kedua orang tua. Kekanda yang sulung terus menjadi guru selepas tamat pelajaran dan membantu ayahanda untuk menyara keluarga. Bonda pernah menangis kerana berat untuk melepaskan anaknya melanjutkan pelajaran.  Kekanda ketika itu masih terlalu kecil untuk merantau ke negeri orang. Namun peluang terbaik itu Cuma datang sekali sahaja. Akhirnya dia pergi berkelana ke negeri orang sehingga tamat SPM dan memasuki maktab perguruan. Berkat doa ayahanda dan bonda akhirnya dia berjaya menjadi guru. Begitu juga sewaktu kekanda memasuki sekolah pondok. Menjadi anak kesayangan bukanlah penghalang untuknya melakar kejayaan seterusnya berjaya menjadi seorang guru di sekolah dan Ustaz yang disegani. Setelah itu seorang demi seorang bersilih ganti melanjutkan pengajian di Universiti sekitar Kuala Lumpur. Pelbagai jurusan dan bidang diambil mengikut minat dan kepakaran masing-masing. Alhamdulillah setelah berpuluh tahun ayahanda menanti, tinggal seorang sahaja adinda yang masih menuntut di Universiti Malaysia Sabah dalam jurusan teknologi maklumat.


Kasih orang tua itu tiada sempadannya, Cuma kejayaan anakanda sentiasa diharapkan. Walau di mana jua berada doa dan harapan mereka tidak pernah padam. Ingatan akan terus subur dan mekar menantikan cahaya dan keindahan.


AYAHANDA – JASAMU SELUAS LAUTAN, PENGORBANANMU IBARAT ALAM TERBENTANG, KASIHMU TIADA PENGHALANG…DIKAULAH PAHLAWAN DIHATI KECILKU INI.
BONDA- DIAMMU BERERTI SAYANG, KELEMBUTANMU MENYENTUH NURANIKU
TANPA SANGSI, TANPA RAGU MELEPASKAN ANAKANDA MENJADI INSAN TERBILANG..DIKAU RATU DIHATIKU

Thursday, April 5, 2012

ALHAMDULILLAH


Srikandi bersyukur kepada Allah atas segala kurnia dan rahmatnya.. Srikandi mendapat perkhabaran dari seorang teman yang menyatakan ucapan tahniah.. Terdiam sejenak dan otak mula ligat berfikir apakah maksud ucapan tahniah itu... setelah diselidik alhamdulillah Puisi ke dua terbit lagi dalam majalah Dewan Siswa bulan April.


Puisi ini asalnya srikandi tulis di Makassar, Indonesia sewaktu bersiap sedia untuk pulang ke tanah air setelah sebulan berada di perantauan dan menyiapkan penelitian di Tanah Bugis. Puisi ini terlalu dalam maknanya pada Srikandi. Mungkin tidak keterlaluan andai srikandi nyatakan bahawa puisi ini mengandung sejuta rasa dan kesedihan meninggalkan kembara di Tanah Bugis.


Meninggalkan mereka (sahabat dan dosen) umpama meninggalkan saudara sendiri. Perasaan itu terlalu sukar digambarkan apatahlagi pertemuan itu mula membuahkan bibit kemesraan dan kasih sayang sesama insan. Gambaran itu hanya mampu srikandi luahkan dalam nukilan Puisi yang asalnya bertajuk Aku Jatuh Cinta. Kemudian puisi ini srikandi tukar judulnya menjadi Selamat Tinggal. Alhamdulillah terbit lagi setelah puisi pertama Akukah Pejuang yang terbit di Tunas Cipta bulan Mac. Syukur Ya Rabb...






SELAMAT TINGGAL



Selamat tinggal kasih….
Selamat tinggal sayang…


Di birai mata hati
Menyelak lembaran hari
Menyongsong helaian nurani
Dalam diri Pencinta abadi


Masih segar dingin danau itu
Seiring rindu hembusan bayu
Merakam citra keriangan tawa
Memahat seribu keakraban senada
Citra Kasih di perantauan


Andai bisa ku mohon Tuhan
Pastinya lakaran itu ku pintakan
Kekal di kotak minda tanpa padam
Walau beribu batu jarak memisahkan
Takkan pudar ditelan zaman


Setiap hembus nafasku
Menitipkan salam kerinduanku
Setiap denyut nadiku
Menjadi rantaian sendu kepiluanku
Pada teman dan saudaraku


Selamat tinggal saudaraku..
Selamat tinggal sahabatku…




RABIATUL ADAWIAH BINTI ABDUL SAMAD
7 JULAI 2011
RAMSIS UNIVERSITAS HASANUDDIN (306)




· · · Share · Delete



srikandi sengaja mengambil puisi ini bersama komen sahabat-sahabat lewat facebook.. semoga ianya menjadi kenngan abadi buat kita semua. Pada sahabatku Fitri... terima kasih atas semangatmu selama ini... Al-Fatihah buatmu...